Thursday, April 26, 2012

Episod 1


Waktu saya menulis bicara ini turut berperanan besar.  Kala hati gembira, pasti tulisannya turut dirasakan kegembiraannya, waktu hati meruntun sepi dan sedih, pasti tulisannya diselubungi kesepian dan kesedihan.

"Waktu aku senyum bukan bererti, aku selalu bahagia dalam diri, ada yang tak ada di hati ini, di jiwa ini.....hampa."

5 Oktober, 1972 saya dilahirkan.

Waktu kecil menyimpan sejarahnya sendiri.  Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang awalnya penuh rahmat dan kebahagian tapi Allah lebih Mengetahui......

Bernasib baik mempunyai mak yang begitu prihatin dan cekal membesarkan kami 5 beradik.  Susah dan senang Mak senantiasa bersama-sama, tidak pernah sesaat melepaskan tanggungjawab untuk memdidik dan membesarkan kami.  Sakit pening kami, Mak yang akan bersama kami sepanjang masa.  Mana Abah saya ya?  Ermmmmmm, saya lebih suka menzahirkan Abah saya sebagai sangat istimewa walau saya tiada memori yang hendak dikongsi bersama mengenai Abah.  Tidak baik menulis sesuatu yang tidak baik mengenai Abah sebab baik dan buruknya saya harus akui dia masih Abah saya.  Mak pun tak pernah memburukkan Abah.  

Maka saya anggap ketiadaan Abah sewaktu kami membesar, saya terima itu sebagai qada dan qadar dan sudah disuratkan dan ditetapkan oleh Allah s.w.t. 

Mak ialah Abah saya.  Kalau saya tiada Mak yang begitu teguh dan tabah dalam mengharungi hari-harinya, saya tahu saya tidak akan berada di mana saya hari ini. Usia muda Mak sehingga tua kerjanya membesarkan anak-anak. 

Terima kasih Mak sebab saya tahu walau saya tarah Gunung Everest, walau saya kumpul air lautan yang ada di muka bumi ini sekalipun, jasa Mak pada saya dan adik beradik saya tidak akan terbalas Mak.  Dengan air tangan Mak yang membesarkan kami, kami cekal dan keras hati dalam mengharungi kehidupan seharian.

Masa kecil memang menyedihkan......kalau nak dihitung rasanya masa kami bersedih itu juga merupakan waktu kami bergembira dan waktu bergembira itu juga merangkumi saat kami melalui fasa yang menyedihkan.

Kalau nak cerita terlalu pahit tapi semakin kami membesar, kami mengenangnya sebagai satu kenangan manis walau pahit untuk dikenang ;)

Mak itu nyawa, nadi dan nafas saya.

Dengan Mak, saya betul-betul kenal erti hidup.  Mak juga yang suka merotan dan melibas dengan tali pinggang sebab anak Mak ini nakal. Saya masih ingat, kalau nak makan, ikut Mak petik pucuk paku dalam hutan di belakang rumah, ada tanah tepi rumah, mak buat batas dan tanam sayur, kalau nak makan ikan, beli yang kecil-kecil dan murah dari Pakcik Sudin, nak ayam kita pelihara walaupun ada masa ayam pun dicuri.  Sampai ke satu tahap yang susah, Mak tiada duit nak beli arang, maka Mak akan cari kayu dan masak guna dapur kayu.  Kalau pergi ambil barang runcit secara berhutang sampai kadang-kadang tebal muka bila Mak tak mampu bayar hutang tapi barang runcit tetap Mak ambil, kan Mak kan...Kalau tak tebal muka dan berhutang juga, macam mana nak makan kan Mak kan?  

Kalau Abah hantar telegram, maka dapatlah Mak bayar hutang kedai runcit dan hutang Pakcik Sudin.  Kalau nak ikut memang susah tapi sebab Mak itu keras hati maka kami dapat lalui semua itu dengan cekal sekali dan kami terikut-ikut menjadi keras hati.  

Masa ini saya selalu kata Mak tak sayang kami sebab Mak tak pernah peluk kami dan cakap dia sayang kami...Kami tersilap dan terlepas pandang, kalau Mak tak sayang kenapa Mak masih di samping kami kan.  Sekarang baru saya faham, sebab Mak tak pernah peluk kami waktu itu sebab dalam kepala Mak berserabut memikirkan macam mana nak menghadapi hari mendatang.

Sebab apa saya dan adik beradik saya dapat melalui semua ini?  Sebab Mak ada walau susah ataupun senang.  Tidak pernah lari dari masalah kehidupan. Itu ilmu yang saya pelajari dari Mak saya.  JANGAN LARI DARI MASALAH.  Hadapinya walaupun pahit untuk ditelan dan dipikul.  Walau dikata orang sekalipun, hidup kita mesti teruskan, itu pesan Mak.  Mak selalu kata, hidup mesti berani, jiwa mesti keras kalau tak kita akan dibuli orang sebab kita orang susah.  Tiada duit memang menjadi masalah tapi kami berjaya mengharunginya sebab Mak selalu cakap, "Mak takde duit nak bagi pada engkorang, cuma ilmu pelajaran ajelah yang jadi bekalan".  Itu doa Mak sebenarnya...

Pahit nak ditelan tapi kami tetap telan dan kami tetap teguh di belakang Mak.  Mak tak pernah runtuhkan kepercayaan kami pada Mak sebab Mak tetap ada kan.  Itulah istimewanya Mak pada saya.  Tak dapat saya bayangkan kalau Mak tiada di sisi saya.....walau saya jarang berjumpa Mak, saya tahu dia sentiasa dalam nafas saya setiap saat dan masa.  Itulah satu kepastian yang saya tahu.  Mak ada dalam roh saya dan Mak itu juga bayang-bayang saya. 

Itulah kenyataan yang hanya mampu saya tulis tapi tak mampu nak luahkan melalui kata-kata.  Masa terus beredar dan saya terlalu keras hati dan jiwa untuk menyatakan saya sayang Mak saya, tapi di lubuk hati saya, Mak sebenarnya terlalu istimewa.  Sebab Mak sayang saya walau dia tak pernah sebut perkataan itu dan saya teramat sayangkan Mak saya walau ia tak pernah diluahkan melalui kata-kata.  Antara adik beradik kami sendiri, kami tak pernah kata saya sayang Along, Kakak, Enda atau Noni, tapi kami faham di lubuk hati kami akan sentiasa bersatu walau susah atau senang dan saling sayang menyayangi.  


Friday, April 6, 2012

Pertama kali........

Pertama kali saya menulis......

Luahan rasa yang hanya bisa dirasai oleh orang yang mudah terasa seperti saya.......

Tiada perkataan terluah dari mulut, hanya jari jemari yang mampu menulis dan terus menulis apa yang terlindung di sebalik sebuah wajah kelihatan bahagia tapi nalurinya sepi.....sedar kelemahan diri ini yang pasti gagal sekiranya disuarakan melalui mulut dan kata-kata yang terlontar dari suara ini mungkin bisa menyakiti hati sesiapa yang mendengarnya, Allah s.w.t. memberi kelebihan untuk saya luahkan melalui jari jemari yang semakin kasar ini.......agar yang membaca bisa terhibur.

Cerita dikongsi agar diri yang sepi ini tahu pasti ada yang akan membaca......
Dari dahulu saya mengumpul diari dan diari ketika percintaan saya, masih saya simpan hingga kini. Mengenang zaman yang takkan tergapai lagi sekarang dan membuat saya tersenyum sendirian kala membaca tulisan saya masa lalu.
Inilah dia episod pengenalan, (akan bersambung lagi)

Sepi,
Tinta Atie....